1 Des 2008

Kewajipan Manusia Sebagai Khalifah Di Bumi..

Kembali kepada tujuan penciptaan manusia yang kedua iaitu manusia dijadikan sebagai khalifah. Ramai yang tersalah tafsir dengan maksud khalifah iaitu ‘menguasai’. Bukanlah seseorang itu perlu merebut jawatan dan kuasa untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Sebaliknya, khalifah Allah sebenarnya adalah perwakilan Allah untuk memakmurkan bumi. Seperti firman Nya yang bermaksud :

“ Ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat : “ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi"......( Surah 2 : 30 )

Manusia diciptakan sebaik-baik kejadian dengan sifat-sifat kemalaikatan ( dijadikan tanpa nafsu ) dan kebinatangan ( dijadikan tanpa akal ) menyatu dalam diri setiap insan. Gabungan unsur-unsur inilah yang menjadikan manusia berpotensi untuk menjadi Khalifatu fi’i Ardh dan membawa misi rahmatan lil ‘aalamiin (rahmat bagi alam semesta). Di sini kita boleh menggunakan perumpamaan kereta dan penumpangnya di mana fungsi kereta adalah sebagai kenderaan yang akan menghantar seluruh isinya ke tujuan. Perumpamaan kereta di atas terlihat bahawa : ibarat dari Nafs, ibarat dari jasad, (bahan bakar) ibarat dari nafas roh. Ibarat perjalanan panjang dan berat yang harus ditempuh serta mempunyai tujuan. Misi perjalanan ini dapat dicapai hasil kerjasama 3 unsur di atas. Nafs sebagai pengemudi kerana hanya dia yang dapat membaca kehendak Allah yang merupakan peta di jalan. Seterusnya jasad menjadi kereta dialah yang memiliki mesin dan roda. Kemudian roh menjadi bahan bakar dan sumber tenaga.

Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud :

“ Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru ( berdakwah ) kepada kebajikan ( mengembangkan Islam ), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar ( buruk dan keji ). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran : 104 )

Dan tidak ada yang lebih baik perbuatannya daripada orang yang menyeru kepada ( menggesakan dan mematuhi perintah Allah ), “ serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : “ Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam( yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat : 33)

Ibnu Mas’ud r.a melaporkan; Seorang bertanya Nabi s.a.w, apakah amalan yang paling afdal ? Baginda menjawab ; Menunaikan solat pada masanya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan berjihad di jalan Allah. (Bukhari)

Abu Umamah r.a melaporkan seorang bertanya : Wahai Rasululullah! Benarkanlah saya untuk melancong. Baginda menjawab : “ Melancong bagi umatku ialah dengan melakukan jihad (berusaha dan berjuang di jalan Allah s.w.t) (Abu Daud)

Kembali kepada sejarah, Rasulullah s.a.w amat mengambil berat terhadap dakwah dikalangan belia. Rasulullah s.a.w telah melakukan dakwah dikalangan para belia dengan penuh berhikmah. Sebagai contoh, beliau berjaya mendidik Saidina Ali dan mengamanahkan beliau membawa panji-panji Islam semasa perang Badar ketika berusia 20 tahun. Usamah bin Zaid pula diberikan amanah memimpin tentera semasa menghadapi musuh yang berada di Syam ketika umurnya baru mencecah 17 tahun. Rasulullah s.a.w telah memberikan kepercayaan kepada mereka dan inilah hikmah yang Rasulullah tunjukkan dengan tidak meminggirkan sesiapapun, walaupun tindakan baginda dipersoalkan.

Jika diperhatikan, golongan yang mempunyai rasa kekhalifahan ini lebih cenderung untuk membuat kerja-kerja kemasyarakatan dan kepimpinan selaras dengan syariat Tuhan. Seharusnya timbul dalam diri perasaan untuk sama-sama melihat masyarakat hidup aman berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Bagi mereka, istilah (uzlah) pengasingan diri itu tidak pernah wujud dalam diri. Hakikat sebenar pengertian uzlah yang diutarakan oleh Al Syahid Sayyid Qutb adalah pengasingan jiwa (uzlah syu’uriyyah) dan bukanlah jasad. Pengasingan jiwa ini adalah bagi memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman disamping mengelakkan daripada dijangkiti oleh noda-noda masyarakat jahiliyyah. Golongan ini sedar bahawa dalam usaha mereka berjihad dan berjuang di jalan Allah, ianya juga bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka disamping menunaikan hak-hak Allah terhadap mereka. Mereka cukup memahami bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Abu Umaiyah Shabani r.a berkata bahawa beliau bertanya Abu Thalabah Al Khushani r.a, apakah yang kamu tahu tentang ayat (Allah ), ‘ alaikum anfusakum’ ( peliharalah dirimu )? Beliau menjawab : Demi Allah ! Kamu telah bertanya seorang yang amat mengetahui tentang ini. Daku sendiri bertanya Rasulullah s.a.w tentang makna ayat ini dan beliau menjawab : ( Ia tidaklah bermakna menjaga dirimu sahaja, tetapi ) supaya menyuruh orang lain berbuat kebaikan dna mencegah daripada kejahatan. Apabila kamu lihat orang ramai menjadi bakhil; hanya mengikuti hawa nafsu; mereka melebihkan perkara dunia daripada Agama; setiap orang akan hanya terpengaruh dengan pendapatnya sahaja ( tidak akan mendengar orang lain ); maka peliharalah dirimu dan tinggalkanlah apa yang orang lain buat secara umum. Dalam situasi begini manusia perlu beruzlah daripada terpengaruh dengan orang ramai. .

Dakwah ini dilakukan bagi menyambung tugas Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam. Oleh itu, pertama seseorang penyeru agama Allah ini hendaklah melakukan usaha dakwah dengan berpaksikan kepada keredhaan Allah dan ikhlas serta tidaklah mengharapkan balasan pahala dan ganjaran dari Nya. Kedua, mujahid Islam juga mestilah menjadi teladan dalam melakukan amal soleh. Setiap apa yang disampaikan hendaklah dilakukan agar tidak timbul sikap yang diibaratkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya sendiri berjalan bengkok. Seperti firman Allah yang bermaksud :

Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukannya. (As Saff : 3)

Ketiga, para dai’e mestilah mengetahui ilmu-ilmu semasa selaras dengan perkembangan dalam masyarakat. Kebijaksanaan menguasai masyarakat dalam erti kata memahami situasi yang ada dan menjiwai kecenderungan mad’u dalam membicarakan sesuatu perkara. Keempat, metod al-Hikmah ( menggunakan logik pemikiran dan akal yang tinggi ) boleh dilakukan kepada golongan intelektual memandangkan golongan ini mementingkan dalil dalam sesuatu hujah yang dikemukakan. Sementara metod Mauizah Hasanah sepeperti berpidato, khutbah sesuai digunakan kepada golongan awam yang mempunyai tahap pemikiran yang sederhana. Kelima, pendakwah hendaklah bersifat sabar dan cekal menghadapi penderitaan. Ulama salaf berwasiat dengan berkata ; “ Sesungguhnya di antara kamu hendaklah menyuruh dengan kebaikan dan menyediakan dirinya dengan kesabaran dan mempercayai balasan pahala daripada Allah. Barangsiapa tidak mempercayai pahala daripada Allah, maka ia tidak akan mendapat habuan malah mendapat kesusahan.

Seperti firman Allah dalam menggambarkan ketegasan Luqmanul Hakim, maksudnya :

Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” ( Luqman : 17 )

Keenam, seorang dai’e juga perlu mengetahui tabiat, jiwa dan perasaan hati manusia. Dalam erti kata lain, pendakwah hendaklah mendalami ilmu psikologi.

Sebelum lahir ke dunia ini nafs manusia telah berjanji (bersaksi) kepada Allah Taala di alam Alastu mempersaksikan bahawa Allah Tuhannya. Yang demikian dilakukan agar mereka tidak ingkar di hari akhir nanti. Sebagai seorang muslim, sewajarnya kita menghayati dan mendalami kembali hakikat sebenar kewujudan kita bumi Allah yang bersifat sementara. Agar apa jua yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan dari Nya. Taklif (amanah) yang dipertanggungjawabk an ke atas seorang manusia terlampau berat sehinggakan gunung-ganang menolak taklif tersebut kerana tidak sanggup. Namun, manusia menerima taklif Allah itu. Taklif tersebut perlu dijalankan sebaik mungkin sementara jasad masih bernyawa.

Tidak ada komentar: