3 Des 2008

Perancangan Kuffar Dalam Menghancurkan
AL-QURAN & ISLAM…..
Sedarlah Wahai Ummat Islam…

Al-quran adalah Kalam Allah, yang diturunkan sebagai mukjizat untuk Nabi Muhammad serta sebagai panduan unuk umat Islam. Al-quran merupakan kitab yang mulia dan suci. Kesucian dan kehebatan al-quran tidak ada bandingannya walaupun dari dulu hingga kita melihat golongan kuffar atau yahudi sentiasa cuba untuk memutar belitkan al-quran dan memesongkan makna al-quran..

Mutakhir ini, kita melihat golongan kuffar dan yahudi semakin berani untuk membuat penipuan dan perancangan untuk membuat beberapa surah palsu di dalam al-Quran untuk menghilangkan kemuliaan dan kesucian al-quran.

Surah palsu ini telah diubah dan diberi nama yang baru untuk mengantikan surah-surah lain dalam al-Quran. Benarlah firman Allah yang telah membuktikan kepada kita bahawa golongan kuffar dan yahudi tidak akan redha kepada agama Islam sehinggalah ada sebahagian ummat Islam akan mengikut jejak langkah mereka. Ini merupakan satu perancangan golongan kuffar dan yahudi untuk mnghancurkan agama Islam dan menghilangkan kesucian al-Quran.

Antara maklumat terbaru dan jangan abaikan ini, sebarkan ke semua muslim bahawa terdapat Al-Quran baru buatan amerika, berbahaya dan sedang didistribusikan di kuwait , berjudul "The True Furqan" isinya bertentangan sekali. Dibuat oleh dua perusahaan percetakan; 'Omega 2001' dan 'Wine Press'. Judul lain buku ini 'The 21st Century Quran'! berisi lebih dari 366 halaman baik bahasa Arab dan Inggris, sekarang kabarnya didistribusikan kepada anak-anak generasi muda di Kuwait di sekolah-sekolah berbahasa Inggris disana. Bukunya sendiri memuat 77 surah, termasuk Alfatihah, Al-Jana and Al-Injil. Semuanya dimulai dengan sebuah versi panjang gabungan kepercayaan Kristen tentang tiga tuhan. @ trinitas…

Ini merupakan satu agenda yang besar golongan kuffar dan yahudi untuk menjadi generasi Islam sekarang akan berpaling tadah dari ajaran Islam yang sebenar serta cuba menimbulkan keraguan di kalangan anak muda untuk mempelajari serta memahami apa yang terdapat di dalam Al-Quran yang sebenar…

Ingat wahai ummat Islam… yakinlah kita bahawa walaupun ada segolongan mereka yang cuba menghancurkan kesyumulan al-Quran tetapi ALLAH tetap akan menjaga Al-Quran sehinggalah hari Akhirat..

Oleh itu, peranan ummat Islam ialah sedarkan kembali masyarakat agar berhati-hati dalam agenda jahat golongan kuffar dan yahudi serta sentiasa mengamalkan apa yang diperintahkan allah dan meninggalkan perkara yang ditegah serta dilarang oleh ALLAH.

Jadilah kita sebagai "Generasi Al-Quran yang unik" mendalami serta mengajar al-Quran kepada masyarakat. Dan jadikan al-quran sebagai teman yang sejati dalam kehidupan serta mendampinginya untuk memahami dan mengambil iktibar di sebalik kisah-kisah, pengajaran, kebinasaan ummat dahulu serta berita gembira buat mereka melakukan amal soleh dan berita buruk buat merka yang melakukan kejahatan..

Justeru itu…. Bangunlah wahai ummat Islam dari tidur kalian,,,,, agar kita bersama-sama menangani segala perancangan jahat golongan yahudi dan kuffar. Kesatuan ummat Islam akan menjadi satu ketakutan bagi golongan kuffar dan yahudi… Islam perlu ditegak kembali, syariat perlu dilaksanakan demi mngembalikan kegemilangan Islam….. ISLAM RAHMATAN LILALAMIN…..

2 Des 2008

MENTELADANI KEPIMPINAN KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ..

Allah telah merakamkan dalam Al-Quran janjinya yang bermaksud:-
(Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka). ( an-nur : 55 )

Hukama' mengatakan, “Dunia ini didukung oleh empat tiang; kebijaksanaan golongan cendekiawan, keadilan pemerintah, doa orang yang jujur dan kegagahan orang yang berani.” Pepatah ini sememangnya sangat tepat kerana hanya golongan cendekiawan yang bijaksana, pemerintah yang adil, orang jujur yang berdoa serta orang berani yang gagah sahaja dapat memakmurkan dan meneguhkan bumi ini. Selain itu, mereka inilah juga yang membentuk suasana sejahtera – bi’ah salihah/hasanah dalam sesebuah keluarga atau masyarakat.

Sifat-sifat mulia yang ada pada empat tiang ini dimiliki oleh pemimpin agung seperti Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz. Dengan keluhuran peribadinya itulah, Khalifah ‘Umar berjaya memadamkan pemberontakan kaum Khawarij yang sangat ekstrim selain peperangan antara suku yang berlaku sejak sebelum beliau memimpin negara. Khalifah ‘Umar telah berusaha mengadakan sesi dialog secara terbuka dengan kumpulan ini sehingga semua pihak berpuas hati.

Keperibadian Khalifah ‘Umar sendiri dipengaruhi oleh sifat serta akhlak luhur keturunan atau ahli keluarganya dan yang paling hampir ialah bapanya sendiri iaitu gabenor Mesir. Zaman pemerintahan ‘Abdul ‘Aziz merupakan zaman yang gemilang. Beliau telah membina alat pengukur air Sungai Nil dan sebuah jambatan di Teluk Amir al-Mu’minin. Begitu juga beliau berusaha membina semula dan meluaskan Masjid Jami’ `Amru. Manakala di kawasan kota pula dibangunkan kolam air, ditanam pohon-pohon kayu serta tamar dan didirikan masjid-masjid lalu dipindahkan pejabat-pejabat pemerintahan dan Baitulmal ke situ.

‘Abdul ‘Aziz merupakan seorang pemimpin contoh dan seorang yang dermawan. Beliau tidak pernah mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sahaja walaupun daerah Mesir itu dapat dijadikan sumber kekayaan peribadinya. Menurut riwayat, beliau telah membelanjakan seluruh harta kekayaannya dan semasa meninggal dunia, ‘Abdul ‘Aziz hanya meninggalkan tujuh ribu dinar sahaja. Ini merupakan jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan kedudukan serta kekayaannya.

Khalifah ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz membesar dan dewasa di kota Madinah. Beliau meriwayatkan Hadith dan berguru dengan sekumpulan sahabat yang pakar dalam bidang tersebut. Antara mereka ialah Anas bin Malik (wafat pada tahun 90H.) – seorang guru yang pernah menjadi makmumnya ketika solat, `Abdullah ibn ‘Umar, bapa saudaranya (wafat pada tahun 74H.) dan ‘Abdullah ibn Ja`far ibn Abi Talib (wafat pada tahun 80H.).

‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz dilantik menjadi khalifah setelah kemangkatan Khalifah Sulaiman ibn ‘Abdil Malik. Semua rakyat dan pembesar negara berkumpul di masjid. Seterusnya, surat wasiat khalifah pun dibuka lalu diumumkan nama ‘Umar ibn ‘Abdil ‘Aziz. Beliau benar-benar berasa terkejut lalu berkata, “Demi Allah! Ini sama sekali bukanlah permintaanku, sama ada secara rahsia mahupun terang-terangan.” ‘Umar segera menaiki mimbar dan berucap kepada hadirin :

“Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dibebani dengan tugas ini tanpa diminta pendapatku terlebih dahulu. Ini bukan juga atas permintaanku sendiri dan tidak pula berdasarkan musyawarah kaum Muslimin. Sesungguhnya aku kini membebaskan saudara-saudara sekalian daripada bai’at yang terletak di atas bahu saudara semua terhadap diriku. Pilihlah siapa yang kamu sukai untuk dirimu sekalian dengan bebas!”

Amalan demokrasi yang cuba dipraktikkan oleh ‘Umar ini sekali gus mengubah tradisi Bani Umayyah sejak zaman Mu`awiyah ibn Abi Sufyan. Walau bagaimanapun, orang ramai segera bersuara, “Kami telah memilih kamu, wahai Amir al-Mu’minin dan kami telah rela terhadap kamu. Perintahlah kami dengan baik.”

Akhirnya, apabila tiada lagi pencalonan lain yang dikemukakan oleh orang ramai, ‘Umar pun menyampaikan pidatonya. Antara lain katanya : “Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah kerana taqwa kepada Allah itu adalah penting daripada segala-galanya. Tiada kemuliaan dan kehormatan yang dapat menggantikan ketaqwaan kepada Allah. Beramallah kamu untuk akhiratmu kerana sesiapa yang beramal untuk akhiratnya, maka Allah s.w.t. akan menjamin bahawa selesailah urusan kehidupan dunianya. Amalkanlah tingkah laku yang baik sewaktu kamu bersendirian, nescaya Allah akan menjadikan tingkah lakumu baik ketika kamu berada di kalangan orang awam.”

“Banyaklah mengingati mati dan sediakanlah bekalan menghadapinya sebelum ia datang menjemput kamu kerana ia boleh mencegah kamu daripada hidup berfoya-foya dengan kenikmatan. Sesiapa yang tidak mahu mengenang nenek moyang yang telah pergi terlebih dahulu sejak zamannya hingga Nabi Adam a.s., ia pasti akan mati dalam keadaan hina.”

Ketahuilah! Bahawa tindakan mentaati makhluk dalam perkara maksiat terhadap Khalik adalah dilarang. Sesiapa yang mentaati Allah, wajiblah ia ditaati dan sesiapa yang mendurhakai Allah, maka ia tidak harus ditaati. Taatlah kamu kepadaku selagi aku taat kepada Allah. Jika aku mendurhakai Allah, maka kamu tidak lagi harus mentaatiku. Aku mengucapkan kata-kataku ini dan aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar untuk diriku sendiri dan untuk saudara-saudara sekalian.”

‘Umar ternyata terlalu bersedih dan gelisah dengan beban tanggungjawab yang dipikulnya sesudah dilantik menjadi Khalifah. Selesai menunaikan solat, beliau berdoa dan menangis. Kepada isterinya, diadukan bagaimana resahnya beliau mengenangkan beban untuk menguruskan umat Muhammad s.a.w. Katanya, “Aku terfikir tentang nasib orang fakir dan miskin yang kelaparan, orang sakit yang terlantar, orang yang tidak berpakaian, orang yang teraniaya, orang asing yang menjadi tawanan perang, orang tua, keluarga yang memiliki anak yang ramai tetapi hartanya sedikit dan orang lain seperti mereka yang terdapat diseluruh pelosok negeri. Aku mengenang bagaimana Tuhanku akan menanyakan dan memintaku bertanggungjawab ke atas mereka semua pada hari kiamat kelak. Aku takut jika aku tidak dapat memberikan keteranganku.”

Diceritakan bahawa selepas dilantik menjadi Khalifah dan ketika mahu berangkat pulang daripada urusan pemakaman Khalifah Sulaiman, ‘Umar diberikan berbagai-bagai jenis kenderaan khalifah. ‘Umar bertanya, “Apakah ini?” Jawab mereka, “Inilah kenderaan buat khalifah.” ‘Umar berkata, “Haiwanku lebih sesuai bagiku.” Kemudian beliau menjual semua kenderaan tersebut dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal. Begitu juga dengan perhiasan, permaidani dan pengalas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah yang baharu. Semuanya dijual oleh ‘Umar dan wangnya diserahkan kepada Baitul Mal.
Di samping itu, turut diceritakan bagaimana ‘Umar menghadapi masalah kewangan untuk menunaikan haji disebabkan harta kekayaannya telah diserahkan kepada negara untuk kepentingan umum. ‘Umar memberitahu pembantunya, Muzahim, “Aku ingin menunaikan ibadah haji. Adakah kamu mempunyai sesuatu?” Muzahim menjawab, “Ada lebih kurang sepuluh dinar cuma.” “Apakah yang dapat kulakukan dengannya?” ujar ‘Umar. Muzahim terdiam sejenak dan akhirnya berkata, “Wahai Amir al-Mu’minin, bersiaplah! Ssebanyak tujuh belas ribu dinar iaitu sebahagian daripada harta Bani Marwan telah diserahkan kepada kita.”

‘Umar menjawab, “Masukkanlah harta tersebut ke dalam Baitul Mal. Sekiranya ia datang daripada barang yang halal, maka kita telah mengambilnya sekadar keperluan kita dan jika ia datang daripada harta yang haram, maka cukuplah bagi kita apa yang menimpa diri kita.”

‘Umar juga melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana; meskipun bersih tetapi koyak, pada hari raya. Kebijaksanaan ‘Umar juga jelas terbukti dalam berinteraksi dan menyelesaikan pertikaian dengan penganut agama lain. Sebagai contoh, ‘Umar telah mengembalikan gereja yang diambil oleh khalifah sebelumnya dan diubah menjadi masjid. Kaum Nasrani yang memaklumi sifat adilnya telah memohon kepada ‘Umar supaya gereja tersebut dikembalikan kepada mereka.

Keadilan dan ketegasan ‘Umar dalam pemerintahannya benar-benar menjadikan rakyatnya hidup aman dan kaya. Yahya ibn Sa’id pernah meriwayatkan, ‘Umar ibn `Abdil Aziz telah mengutusku ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat penduduk di sana. Aku pun melaksanakan perintah tersebut. Aku mencari golongan fakir miskin untuk kuberikan zakat itu kepada mereka. Akan tetapi ,kami tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerimanya. ‘Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya. Akhirnya, kubeli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu kumerdekakan.”

khalifah yang demikian salih, adil dan menepati ciri pemimpin sejati yang dikasihi Allah, akhirnya wafat kerana diracuni makanannya. Anehnya ‘Umar yang sememangnya mengetahui ketika, di mana dan siapa yang meracuninya itu tidak pula menghukum orang tersebut. Inilah kelebihan firasat orang yang beriman. Menyentuh tentang firasat ini, Rasulullah pernah bersabda, “Takutilah olehmu firasat Mukminin kerana mereka memandang dengan nur Allah.” Beliau hanya memanggil orang tersebut dan bertanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Wang seribu dinar itu dimintanya bukan untuk mengubati bisa racun tersebut tetapi diberikan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umat Islam.

Keimanan dan sifat zuhud ‘Umar sememangnya cukup menakjubkan. Daripada kehidupan yang sedemikian mewah sebelum menjadi khalifah, beliau sanggup meninggalkan semuanya, semata-mata kerana takutkan azab Allah sekiranya beliau cuai menjalankan amanah. Ketika meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Ia dibahagi-bahagikan untuk penyelenggaraan pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar itulah yang dibahagi-bahagikan untuk sebelas orang anaknya.

Sebagai seorang hamba yang dikasihi Allah, ketinggian darjatnya ditunjukkan oleh Allah untuk dijadikan panduan oleh manusia lainnya. Demikianlah kehebatan seorang manusia agung, seorang hamba Allah yang memperoleh nikmat syurga, hasil keimanan yang kudus hanya kepada Allah s.w.t. Mudah-mudahan kita dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya.

Keluhuran, kejujuran, beramanah, tanggungjawab, zuhud, dermawan, menepati masa merupakan antara keperibadian seorang khalifah dalam mentadbir iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz. Oleh keperibadian beliau wajar diteladani oleh semua pihak…..

1 Des 2008

Kewajipan Manusia Sebagai Khalifah Di Bumi..

Kembali kepada tujuan penciptaan manusia yang kedua iaitu manusia dijadikan sebagai khalifah. Ramai yang tersalah tafsir dengan maksud khalifah iaitu ‘menguasai’. Bukanlah seseorang itu perlu merebut jawatan dan kuasa untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Sebaliknya, khalifah Allah sebenarnya adalah perwakilan Allah untuk memakmurkan bumi. Seperti firman Nya yang bermaksud :

“ Ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat : “ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi"......( Surah 2 : 30 )

Manusia diciptakan sebaik-baik kejadian dengan sifat-sifat kemalaikatan ( dijadikan tanpa nafsu ) dan kebinatangan ( dijadikan tanpa akal ) menyatu dalam diri setiap insan. Gabungan unsur-unsur inilah yang menjadikan manusia berpotensi untuk menjadi Khalifatu fi’i Ardh dan membawa misi rahmatan lil ‘aalamiin (rahmat bagi alam semesta). Di sini kita boleh menggunakan perumpamaan kereta dan penumpangnya di mana fungsi kereta adalah sebagai kenderaan yang akan menghantar seluruh isinya ke tujuan. Perumpamaan kereta di atas terlihat bahawa : ibarat dari Nafs, ibarat dari jasad, (bahan bakar) ibarat dari nafas roh. Ibarat perjalanan panjang dan berat yang harus ditempuh serta mempunyai tujuan. Misi perjalanan ini dapat dicapai hasil kerjasama 3 unsur di atas. Nafs sebagai pengemudi kerana hanya dia yang dapat membaca kehendak Allah yang merupakan peta di jalan. Seterusnya jasad menjadi kereta dialah yang memiliki mesin dan roda. Kemudian roh menjadi bahan bakar dan sumber tenaga.

Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud :

“ Dan hendaklah ada di antara kamu puak yang menyeru ( berdakwah ) kepada kebajikan ( mengembangkan Islam ), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang mungkar ( buruk dan keji ). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran : 104 )

“Dan tidak ada yang lebih baik perbuatannya daripada orang yang menyeru kepada ( menggesakan dan mematuhi perintah Allah ), “ serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata : “ Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam( yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat : 33)

Ibnu Mas’ud r.a melaporkan; Seorang bertanya Nabi s.a.w, apakah amalan yang paling afdal ? Baginda menjawab ; Menunaikan solat pada masanya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan berjihad di jalan Allah. (Bukhari)

Abu Umamah r.a melaporkan seorang bertanya : Wahai Rasululullah! Benarkanlah saya untuk melancong. Baginda menjawab : “ Melancong bagi umatku ialah dengan melakukan jihad (berusaha dan berjuang di jalan Allah s.w.t) (Abu Daud)

Kembali kepada sejarah, Rasulullah s.a.w amat mengambil berat terhadap dakwah dikalangan belia. Rasulullah s.a.w telah melakukan dakwah dikalangan para belia dengan penuh berhikmah. Sebagai contoh, beliau berjaya mendidik Saidina Ali dan mengamanahkan beliau membawa panji-panji Islam semasa perang Badar ketika berusia 20 tahun. Usamah bin Zaid pula diberikan amanah memimpin tentera semasa menghadapi musuh yang berada di Syam ketika umurnya baru mencecah 17 tahun. Rasulullah s.a.w telah memberikan kepercayaan kepada mereka dan inilah hikmah yang Rasulullah tunjukkan dengan tidak meminggirkan sesiapapun, walaupun tindakan baginda dipersoalkan.

Jika diperhatikan, golongan yang mempunyai rasa kekhalifahan ini lebih cenderung untuk membuat kerja-kerja kemasyarakatan dan kepimpinan selaras dengan syariat Tuhan. Seharusnya timbul dalam diri perasaan untuk sama-sama melihat masyarakat hidup aman berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Bagi mereka, istilah (uzlah) pengasingan diri itu tidak pernah wujud dalam diri. Hakikat sebenar pengertian uzlah yang diutarakan oleh Al Syahid Sayyid Qutb adalah pengasingan jiwa (uzlah syu’uriyyah) dan bukanlah jasad. Pengasingan jiwa ini adalah bagi memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman disamping mengelakkan daripada dijangkiti oleh noda-noda masyarakat jahiliyyah. Golongan ini sedar bahawa dalam usaha mereka berjihad dan berjuang di jalan Allah, ianya juga bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka disamping menunaikan hak-hak Allah terhadap mereka. Mereka cukup memahami bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Abu Umaiyah Shabani r.a berkata bahawa beliau bertanya Abu Thalabah Al Khushani r.a, apakah yang kamu tahu tentang ayat (Allah ), ‘ alaikum anfusakum’ ( peliharalah dirimu )? Beliau menjawab : Demi Allah ! Kamu telah bertanya seorang yang amat mengetahui tentang ini. Daku sendiri bertanya Rasulullah s.a.w tentang makna ayat ini dan beliau menjawab : ( Ia tidaklah bermakna menjaga dirimu sahaja, tetapi ) supaya menyuruh orang lain berbuat kebaikan dna mencegah daripada kejahatan. Apabila kamu lihat orang ramai menjadi bakhil; hanya mengikuti hawa nafsu; mereka melebihkan perkara dunia daripada Agama; setiap orang akan hanya terpengaruh dengan pendapatnya sahaja ( tidak akan mendengar orang lain ); maka peliharalah dirimu dan tinggalkanlah apa yang orang lain buat secara umum. Dalam situasi begini manusia perlu beruzlah daripada terpengaruh dengan orang ramai. .

Dakwah ini dilakukan bagi menyambung tugas Rasulullah dalam menegakkan syiar Islam. Oleh itu, pertama seseorang penyeru agama Allah ini hendaklah melakukan usaha dakwah dengan berpaksikan kepada keredhaan Allah dan ikhlas serta tidaklah mengharapkan balasan pahala dan ganjaran dari Nya. Kedua, mujahid Islam juga mestilah menjadi teladan dalam melakukan amal soleh. Setiap apa yang disampaikan hendaklah dilakukan agar tidak timbul sikap yang diibaratkan seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya sendiri berjalan bengkok. Seperti firman Allah yang bermaksud :

“ Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu lakukannya. (As Saff : 3)

Ketiga, para dai’e mestilah mengetahui ilmu-ilmu semasa selaras dengan perkembangan dalam masyarakat. Kebijaksanaan menguasai masyarakat dalam erti kata memahami situasi yang ada dan menjiwai kecenderungan mad’u dalam membicarakan sesuatu perkara. Keempat, metod al-Hikmah ( menggunakan logik pemikiran dan akal yang tinggi ) boleh dilakukan kepada golongan intelektual memandangkan golongan ini mementingkan dalil dalam sesuatu hujah yang dikemukakan. Sementara metod Mauizah Hasanah sepeperti berpidato, khutbah sesuai digunakan kepada golongan awam yang mempunyai tahap pemikiran yang sederhana. Kelima, pendakwah hendaklah bersifat sabar dan cekal menghadapi penderitaan. Ulama salaf berwasiat dengan berkata ; “ Sesungguhnya di antara kamu hendaklah menyuruh dengan kebaikan dan menyediakan dirinya dengan kesabaran dan mempercayai balasan pahala daripada Allah. Barangsiapa tidak mempercayai pahala daripada Allah, maka ia tidak akan mendapat habuan malah mendapat kesusahan.

Seperti firman Allah dalam menggambarkan ketegasan Luqmanul Hakim, maksudnya :

“ Wahai anakku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” ( Luqman : 17 )

Keenam, seorang dai’e juga perlu mengetahui tabiat, jiwa dan perasaan hati manusia. Dalam erti kata lain, pendakwah hendaklah mendalami ilmu psikologi.

Sebelum lahir ke dunia ini nafs manusia telah berjanji (bersaksi) kepada Allah Taala di alam Alastu mempersaksikan bahawa Allah Tuhannya. Yang demikian dilakukan agar mereka tidak ingkar di hari akhir nanti. Sebagai seorang muslim, sewajarnya kita menghayati dan mendalami kembali hakikat sebenar kewujudan kita bumi Allah yang bersifat sementara. Agar apa jua yang dilakukan adalah untuk mendapatkan keredhaan dari Nya. Taklif (amanah) yang dipertanggungjawabk an ke atas seorang manusia terlampau berat sehinggakan gunung-ganang menolak taklif tersebut kerana tidak sanggup. Namun, manusia menerima taklif Allah itu. Taklif tersebut perlu dijalankan sebaik mungkin sementara jasad masih bernyawa.

MUHASABAH DIRI BUAT SAUDARAKU............

Sahabat-sahabatku yang dikasihi………

Sesiapa yang menghisab dirinya sebelum dihisab maka akan diringankan hisabannya di akhirat kelak serta didatangkan jawabnya ketika disoal dan keelokan tempat kembali. Sebaliknya sesiapa yang tidak menghisab dirinya maka berkekalanlah kedukaannya dan panjanglah penghisabannya di Hari Pembalasan.

Justeru, hendaklah kita bermuhasabah dan menyoal diri sendiri, adakah kita akan terlepas daripada dihisab? Oleh itu segeralah bermuhasabah sebelum terlambat.

Sebagai panduan Imam Al Ghazali telah menetapkan beberapa marhalah atau peringkat untuk bermuhasabah seperti mana berikut:

Marhalah Pertama: Al Musyarothoh :-

Pada peringkat ini kita mengenali bahawa diri itu adalah diri kita sendiri dan hati itu adalah hati kita. Ditangan kitalah terserah segala amalan baik dan buruk. Ketahuilah bahawa membaiki diri adalah dengan amalan yang soleh manakala kerosakan diri adalah berpunca daripada maksiat dan kejahatan.

Marhalah Kedua: Al Murokobah :-

Intai-intailah diri sewaktu mengharungi amalan dan perhatikanlah dengan mata hati. Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita telah melanggari hak-hak Allah Taala lantas melakukan maksiat terhadapnya maka segeralah bertaubat dan baikilah diri dengan mentaati segala suruhan dan larangannya.

Marhalah Ketiga: Al Muhasabah :-

Apabila seseorang hamba itu menghisab dirinya pada akhir waktu, adakala rutin seharian yang dilalui dipenuhi dengan ketaatan. Justeru, sewajarnya hamba itu memuji Allah, berdoa dengan penuh kesabaran dan thabat diatas perkara tersebut. Sekiranya, kehidupan seharian hamba itu dipenuhi dengan maksiat dan dosa maka hendaklah dia berhenti, mencela dan menegah dirinya daripada mengulangi apa yang telah dilakukan sebelum itu.

Marhalah Keempat: Al Muakobah :-

Amaran dan tegahan untuk tidak melakukan dosa dan maksiat tidak memadai sekiranya tidak diiringi dengan iqab (denda) yang zahir agar iqab itu menjadi penolak dan penghalang kepada dosa atau maksiat yang telah dilakukan.

Diriwayatkan bahawa SaidianUmar Al Khattab telah mendera dirinya sendiri kerana meninggalkan solat Asar berjamaah dengan menyedekahkan tanahnya yang bernilai 200 ribu dirham. Manakala sesetengah ulama’ pula mewajibkan diri dengan berpuasa selama setahun, berjalan kaki untuk menunaikan haji dan sebagainya bertujuan untuk menta’dib dan mentarbiah diri agar tidak mengulangi tegahan Allah Taala.

Marhalah Kelima: Al Mujahadah :-

Sentiasalah berwaspada, bermuhasabah, melaksanakan iqab dan bermujahadah dari masa ke semasa dan beramallah dengan amalan-amalan yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh supaya tidak futur di pertengahan jalan.

Seruan buat sahabat-sahabat yang dikasihi, segeralah bermuhasabah serta ingatlah hala tuju dan persediaan kita untuk berhadapan dengan Hakim yang Maha Agung di Padang Mahsyar nanti. Adakah hari yang kita lalui kini lebih baik daripada semalam? Semoga kita semua diredhai Allah dan ditempatkan bersama hambanya yang solihin. Amin.

Semoga muhasabah ini dapat menambah komitmen diri kita terhadap islam......

30 Nov 2008

salam perkenalan.... salam ukhuwwah...

salam perkenalan...

Alhamdulillah...... hari ini merupakan hari yang bersejarah buat saya dengan kelahiran blog ini dalam usaha untuk mengembangkan wasilah dakwah menggunakan alam maya ini...
Semoga blog ini akan memberi manafaat kepada semua pihak dalam menyebarkan risalah Islam kepada seluruh umat...
Blog ini dinamakan sebagai "Cetusan Minda Daie"..... segala kritikan, saranan yang membina amat diharapkan agar segala apa yang akan dipaparkan dapat mendatangkan manafaat kepada semua pihak, ......salam perjuangan dan salam perkenalan.....