14 Apr 2009

POTRET SEORANG ULAMAK MUJAHID:

USTAZ BADI UZZAMAN SA'ID NURSI.

Ustaz Badi Uz-Zaman Sa'id An-Nursi adalah seorang ulamak dan mujahid yang mengorbankan keseluruhan usianya mempertahankan Islam secara berani dan bijaksana, tanpa bertolak ansur kepada toghut.

Oleh kerana zaman kehidupannya adalah zaman kejatuhan Daulah Uthmaniyah di mana islah telah dihina dan Al-Quran telah dipijak-pijak, menyebabkan beliau menerima penderitaan dan penyeksaan yang tiada bandingannya daripada anak bangsanya sendiri.

Di dalam salah satu perbicaraan tentera yang pernah dilaluinya, beliau dituduh terlibat di dalam satu percubaan rampasan kuasa untuk menegakkan kembali negara Islam. Setelah hakim menjatuhkan hukuman bunuh terhdap 19 orang yang tertuduh, beliau berpaling kepada Sa'id An-Nursi dan bertanya sama ada benar beliau inginkan undang-undang islam di Turki. Beliau menjawab dengan panjang lebar. Berikut adalah ringkasan daripada kenyataan beliau,

"Jika saya dikurniakan seribu nyawa, akan saya korbankan semuanya untuk menegakkan undang-undang Islam. Undang-undang ini adalah sumber keadilan, kebahagiaan dan kebaikan yang sebenarnya . Saya adalah pengikut Al-Quran dan menilai semua perkara menurut undang-undang Islam. Kerakyatan kami ialah Islam; menyebabkan segala masalah kami pertimbangkan menurut Islam. Saya tidak akan menerima segala perkara yang bertentangan dengan Islam.

Sebenarnya, saya sedang menunggu kenderaan yang akan membawa saya ke alam barzakh supaya terdedah kebenaran yang bersemadi di dalam sanubari saya. Saya amat ingin untuk mengembara ke alam lain bersama-sama sahabat-sahabat saya yang telah terlepas daripada kekejaman kamu melalui tali gantung. Saya sangat rindukan akhirat, seperti rindunya seorang penduduk desa untuk ke bandaraya Istambul yang selama ini hanya didengari sahaja tentang kecantikan, kemewahan dan keindahannya.

Tidak menjadi kesukaran kepada saya seandainya kamu memaksa saya untuk hidup di dalam buangan. Jika kamu mampu, buktikanlah kesalahan saya. Menurut perhitungan saya, saya tidak bersalah. Tiada penderitaan di dalam hati saya kecuali kegembiraan sahaja. Saya telah berbicara tentang manusia yang kian tenat meruntuh, bukan sahaja kepada kamu tetapi juga kepada seluruh manusia yang masing-masing akan melalui alam barzakh juga akhirnya.

Kerajaan yang kejam adalah musuh kemajuan. Malah kerajaan kini adalah musuh kepada kehidupan itu sendiri. Andainya keadaan ini berterusan, akan berpanjanganlah kekacauan, kekejaman dan neraka yang dibuat oleh tangan mereka sendiri. Selama ini saya telah mencari jalan bagaimana untuk menyuarakan pendapat saya dan kini saya telah menjumpai jalannya, iaitu melalui mahkamah tentera ini.

Kamu bertanya sama ada saya ada mempunyai hubungan dengan Ittihadi Muhammadi (Parti islam yang merancang rampasan kuasa itu) atau tidak. Ya, dengan bangganya saya mengisytiharkan di sini bahawa saya adalah tenaga penggerak di dalam pertubuhan yang agung itu.

Sekarang saya akan memberi penjelasan tentang Ittihadi Muhammadi (apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah Islam sendiri).

• Kawasannya meliputi satu bulatan besar yang merangkumi timur dan barat serta utara dan selatan.

• Pertubuhan ini dianggotai oleh 300 juta orang Muslimin.

• Perpaduannya berlandaskan keimanan kepada ALLAH Yang Esa.

• Wasilahnya ialah beriman dan mengamalkan Islam. Semua yang beriman kepada Islam adalah ahli-ahlinya.

• Al-Quran adalah lidah rasminya.

• Semua akhbar dan buku-buku yang menegakkan kalimah ILAHI adalah akhbar-akhbarnya.

• Semua masjid, sekolah-sekolah agama dan tempat-tempat ibadat adalah kelab-kelabnya.

• Ibu kotanya adalah Tanah Haram Makkah dan Madinah.

Kami menuruti dan menghidupkan ajaran dan sunnah Rasulullah kerana ia merupakan panduan bagi Ittihadi Muhammadi. Syariat Islam merupakan landasan, cara hidup dan perjuangan kami. Kami amat ingin menunjukkan rasa kasih sayang dan memberikan nasihat-nasihat yang baik kepada orang lain. Kami ingin menyekat segala bentuk kejahatan. Ittihadi Muhammadi menyampaikan kebenaran dengan menggunakan hujah-hujah yang bijaksana serta meyakinkan, bukannya dengan paksaan. Kebenaran itu disampaikan dengan penuh kasih sayang serta menentang segala bentuk kekejaman. Tujuan kami hanya menegakkan kalimah ILAHI di muka bumi ."

Mahkamah tidak dapat membuktikan kesalahannya kerana sememangnya ia tidak merestui cubaan rampasa kuasa itu. Ketika beliau dibebaskan, sedikit pun ia tidak mengucapkan terima kasih, sebaliknya ia sempat melafazkan, "Pergi jahanamlah, wahai para penindas dan orang-orang zalim. "

Tidak ada komentar: